Durakovic puji anak buahnya

Oleh Azizan Hashim 15 September 2019 107
Durakovic puji anak buahnya
Mehmet Durakovic memberi pujian penuh terhadap anak buahnya kerana berjaya menumpaskan Pahang 3-1 yang membuka peluang juara bertahan itu untuk ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

Dalam pertemuan kali kedua Kumpulan C di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi, tuan rumah memanfaatkan peluang dan kelebihan sebaik mungkin untuk mengatasi Tok Gajah.

Walaupun anak buah Dollah Salleh itu cuba bangkit, mereka tidak berupaya untuk menyekat Ronaldo Henrique Silva dan  Sharel Fikri Md Fauzi daripada menjaringkan gol.

"Tiada lain yang diminta oleh seorang jurulatih melainkan aksi bertenaga daripada anak buahnya.

"Terus terang saya akui perlawanan ini tidak mudah.

"Pahang merupakan pasukan yang bagus dan memiliki pemain import dan tempatan berwibawa.

"Saya gembira pemain Perak telah bermain dengan baik dan berjaya mencapai misi malam ini," katanya selepas perlawanan.

Lebih menggembirakan jurulatih Australia itu, kejayaan itu dikecap tanpa dua pemain import, Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).

Terutama Leandro selaku watak kontroversi yang tidak digemari oleh kem Pahang berikutan persembahannya yang dikatakan sering mencetus provokasi.

"Saya gembira dengan persembahan kesebelasan pemain yang diturunkan.

"Mereka melakukan segalanya dengan baik dan saling membantu untuk menghalang lawan," katanya.

Durakovic memuji Muhammad Shahrel berikutan sumbangan bertenaganya, termasuk menyumbang dua gol, malam tadi.

"Dia pemain yang bagus. Dia diletakkan menggantikan Careca. Saya gembira dengan kejayaannya itu," kata Durakovic sambil menafikan wujud krisis di antara dia dan anak buahnya itu.

Dengan kejayaan malam tadi, The Bos Gaurus kini menduduki tangga kedua Kumpulan C dan berpeluang mengiringi Pahang ke suku akhir menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan apabila akan berkunjung ke Sabah, Rabu ini. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen