Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menyifatkan kemenangan ke atas Pahang merupakan persembahan terbaik yang pernah dipamerkan oleh anak buahnya.

Dalam aksi pertama di Stadium DarulMakmur, Perak terpaksa menerima kekalahan 3-1 dan ia dilihat sebagai halangan yang besar untuk mereka bangkit bagi menempah slot ke separuh akhir Piala Malaysia.

Penyerang import, Gilmar Da Silva, menjadi nadi kebangkitan Perak yang membelasah Pahang 4-0 di Stadium Perak untuk melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi agregat 5-3.

Dua gol daripada Gilmar serta masing-masing satu gol daripada Kenny Pallraj dan Nazrin Nawi menyaksikan Perak berpesta gol di Ipoh, semalam.

Durakovic ternyata berpuas hati dengan persembahan yang dihasilkan oleh The Bos Gaurus.

"Kami mendominasi perlawanan ini sepanjang 90 minit. Kami hampir meledak lebih banyak gol dalam perlawanan ini. Ia merupakan persembahan terbaik dan saya sangat gembira melayakkan diri ke separuh akhir," kata Durakovic.

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi kecewa kerana pasukannya kerap melakukan kesilapan, sekaligus menyaksikan Pahang tersingkir.

“Banyak kesilapan mudah dilakukan hingga menghukum Pahang dan tidak seharusnya berlaku dalam perlawanan ini,” kata Shaharuddin.