PKNP FC menyenaraikan dua pemain muda dalam kesebelasan utamanya apabila melayan kunjungan UiTM FC dalam perlawanan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Dua pemain itu ialah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Aidil Azwan, masing-masing berusia 18 tahun.

Ajmal adalah kapten skuad B-19 negara yang bertemu Australia dalam final Piala AFF baru-baru ini manakala Aidil daripada skuad Piala Presiden.

Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berkata langkah menurunkan kedua-dua pemain muda itu bertujuan memberi pendedahan kepada mereka di peringkat tinggi.

"Kami kena beri peluang kepada pemain muda beraksi agar mereka dapat menimba pengalaman," katanya.

Mengenai pertemuan dengan UiTM, jurulatih itu berkata pasukannya turun dengan misi mengutip mata penuh bagi menghidupkan peluang ke suku akhir daripada Kumpulan B itu.

Secara realistik, peluang PKNP meneruskan kemaraan masih ada biarpun tampak sukar dan setakat ini mereka mengutip empat mata untuk berada di belakang Johor Darul Ta'zim (10) dan Petaling Jaya City FC (9).

Pasukan Harimau Selatan itu hanya memerlukan satu mata ketika bertemu PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok bagi mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

"Memang tugas kami sukar tetapi tiada yang mustahil dalam bola sepak.

"Saya berharap pemain saya memberi persembahan terbaik mereka dalam baki dua perlawanan ini, " katanya merujuk kepada pertemuan dengan UiTM malam esok dan PJ City di gelanggang sendiri pada 17 September nanti.

Kredit foto: PKNP