Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, pantas menolak sentimen persahabatan dengan rakan karibnya, Zainal Abidin Hassan, sejurus mengetahui skuad Tok Gajah terpaksa berdepan Melaka dalam suku akhir Piala Malaysia 2019.

Pahang melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Tampil selaku juara Kumpulan C ke peringkat kalah mati, skuad Tok Gajah itu akan membuat perhitungan dengan Melaka untuk penentuan ke separuh akhir.

Ia sememangnya menjadi perhatian susulan dua rakan karib, Dollah dan Zainal, sekali lagi bertembung di atas padang selepas dua aksi Liga Super musim ini.

"Sudah pasti Zainal dan Melaka mahukan kemenangan, sama seperti kami. Ia adalah lumrah bersaing dalam kancah bola sepak," kata Dollah.

Sementara itu, hasrat Pulau Pinang untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong untuk aksi terakhir musim ini tidak kesampaian.

Pengendalinya, Manzoor Azwira Abd Wahid, mengakui ia juga berpunca daripada kegagalan penyerang import, Casagrande, memanfaatkan peluang keemasan di depan gol.

"Ia adalah peluang terbuka yang gagal dilunaskan tetapi kesilapan itu berlaku kepada ramai barisan ternama dunia. Ia seharusnya boleh dielakkan tetapi kami tidak bernasib baik," katanya.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal, menganggap peluang beraksi di laman sendiri dalam aksi pusingan pertama suku akhir perlu digunakan sepenuhnya.

Dengan meletakkan Pahang sebagai pasukan pilihan, Zainal mahu kepincangan yang terserlah dalam babak kedua aksi semalam perlu segera diperbetulkan.

"Kami akan beraksi di laman sendiri, satu kelebihan buat Melaka. Berdepan Pahang yang memiliki barisan pemain ternama, Melaka harus menggunakan setiap peluang dengan sebaik mungkin," katanya.

Melupakan seketika persahabatan dengan Dollah dalam tempoh 90 minit pertama di Stadium Hang Jebat, dia menambah ia perlu disudahkan dengan kelebihan skuadnya.