Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, berpuas hati dengan komiten pemainnya selepas menumbangkan Melaka 3-1 dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur malam tadi untuk melangkah ke separuh akhir dengan kelebihan agregat 6-1.

Skuad Tok Gajah itu membawa bekalan selesa daripada perlawanan pertama di Stadium Hang Jebat selepas melakar kemenangan 3-0 minggu lalu.

Namun, kelebihan itu bukan alasan untuk mereka beraksi longlai, sebaliknya memaparkan prestasi mantap menerusi jaringan Lazarus Kaimbi dalam separuh masa pertama dan gol berganda Dickson Nwakaeme dalam babak berikutnya.

Dollah jelas berpuas hati dengan prestasi pasukannya biarpun turun tanpa beberapa tonggak utama yang direhatkan.

"Saya berpuas hati dengan komitmen pemain.

"Walaupun kami berkelebihan 3-0, kami tetap bermain seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, tetap berbangga dengan pasukannya meskipun kempen mereka musim ini ditamatkan dengan kekecewaan.

"Mereka berusaha untuk membuat sesuatu malam ini tetapi yang agak malang ialah keputusan dalam perlawanan pertama.

"Agak kecewa kerana kami tewas 3-0, jadi untuk bangkit dalam perlawanan kedua berdepan Pahang bukan perkara mudah," katanya.