Pahang enggan mendabik dada hasil permulaan sempurna dalam kempen Piala Malaysia musim ini apabila menumpaskan Perak 3-0 di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Pahang, yang merekodkan dua kemenangan dalam dua perlawanan setakat ini, akur mereka perlu terus mendominasi baki empat perlawanan lagi untuk mengelak berputih mata.

Skuad Tok Gajah akan menutup aksi pusingan pertama peringkat kumpulan apabila bakal menentang pasukan tercorot kumpulan, Sabah, hujung minggu depan.

"Kami membuat persiapan yang rapi bagi setiap perlawanan.

"Saya berasakan jika mengumpul 10 mata sekalipun, belum tentu menjamin kami untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Saya sering menekankan kepada pemain dengan kewajipan untuk menghasilkan sesuatu," kata ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Juara tiga kali itu mempamerkan aksi hampir sempurna ketika menentang skuad kendalian Mehmet Durakovic itu apabila bermula dengan jaringan situasi bola mati pada minit ke-40 yang disempurnakan pemain pertahanan, Herold Goulon.

Baki dua gol dalam babak kedua disumbangkan oleh Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi sebelum tamat permainan.

"Kami sangat berpuas hati dengan kemenangan ini.

"Kepujian harus diberikan kepada pemain Pahang yang sangat berdisiplin ketika bertahan dan melakukan serangan balas yang pantas seperti yang telah diterapkan dalam sesi latihan," tambahnya.