Masih ada satu perlawanan yang perlu dihadapi Pahang biarpun membawa pulang bekalan selesa selepas menundukkan Melaka 3-0 dalam aksi suku akhir Piala Malaysia di tempat lawan malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh, turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan yang diraih itu, sebaliknya mengekalkan aksi konsisten untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Macam-macam perkara boleh berlaku walaupun kami mendahului dengan kelebihan tiga gol. Dalam pasukan Pahang sendiri sudah banyak kali terjadi, sebab itu kami kena berjaga-jaga dan tidak boleh sambil lewa.

"Perkara ini selalu saya tekankan kepada pemain. Dalam bola sepak, kami tidak boleh selesa dengan keadaan walaupun berada di prestasi terbaik tetapi kami perlu kekalkan tempo dan corak permainan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Melaka, semalam.

Terdahulu, dalam perlawanan yang disaksikan lebih 5,000 penonton di Stadium Hang Jebat itu, skuad Tok Gajah berjaya mengalahkan tuan rumah menerusi tiga gol yang dihasilkan dalam masa lima minit dalam separuh kedua selepas kedudukan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Pada minit ke-56, pasukan pelawat meraih gol sulung menerusi Lazarus Kaimbi sebelum Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mengukuhkan kedudukan dua minit kemudian dan kelonggaran pertahanan skuad Sang Kancil terus dihukum apabila tiga minit kemudian, Dickson Nwakaeme meledak gol untuk membolehkan Pahang membawa pulang kemenangan selesa.

"Saya telah mengingatkan pemain untuk ubah cara mereka walaupun menguasai 60-65 peratus aksi itu kerana jika kami ikut tempo lawan, sampai bila-bila mereka tidak boleh menjaringkan gol.

"Selepas rehat, kami meningkatkan rentak dan di situ pemain mengambil kesempatan serta peluang yang ada dengan mempamerkan permainan lebih laju untuk memenangi aksi ini," katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, berkata kekalahan itu akibat kesilapan hilang tumpuan dalam tempoh lima minit yang mengubah keputusan dalam perlawanan tersebut.

Namun, dia tetap positif dengan perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Ahad ini dan mereka akan cuba memberikan yang terbaik dalam aksi itu.

"Kelekaan dalam kesilapan gol pertama tidak diperbaiki dengan cepat dan kami dihukum dengan dua lagi jaringan. Kami tewas dalam lima minit yang leka, itu mengecewakan," ujar Zainal.

-- BERNAMA