Dollah ambil langkah berjaga-jaga

Oleh Staff Writer 18 September 2019
Dollah ambil langkah berjaga-jaga
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, enggan mengambil risiko menurunkan dua tonggak utama, Dickson Nwakaeme dan Mohamadou Sumareh, setelah terpaksa mengetepikan kapten, Matthew Davies, untuk pertemuan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam ini.

Pahang berkunjung ke Pulau Pinang untuk perlawanan terakhir Kumpulan C, Piala Malaysia tanpa kelibat Davies ekoran kecederaan.

Kehilangan seorang tonggak pertahanan, skuad Tok Gajah juga bakal kempunan menggunakan khidmat dua lagi penggempur utama mereka.

Ini susulan Nwakaeme dan Sumareh berdepan risiko digantung perlawanan gara-gara kad kuning yang terkumpul.

"Kami menasihatkan setiap pemain untuk mengelak daripada mengutip kad kuning bagi mengelak daripada digantung dalam perlawanan yang lebih penting," kata Dollah.

Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu menuntut kebangkitan daripada anak buahnya selepas mengalami kekalahan 1-3 kepada Perak, Sabtu lalu.

Dollah menegaskan kemenangan ke atas Pulau Pinang cukup penting buat Tok Gajah sebagai motivasi terbaik untuk menghadapi aksi suku akhir nanti.

"Pahang akan turun seperti biasa dan berusaha untuk melakar kemenangan. Perkara paling penting, kami akan berusaha untuk mengutamakan mutu permainan pasukan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen