Pengendali PJ City, K. Devan, menyifatkan perlawanan menentang UiTM di laman sendiri dalam saingan Piala Malaysia sebagai misi wajib menang dengan menghasilkan jaringan tanpa dibolosi.

Devan tidak mengambil mudah kekuatan anak buah Ismail Zakaria itu dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan meskipun buat masa ini gagal meraih sebarang mata.

Menurutnya, kesebelasan utama seperti menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan lalu akan dikekalkan tanpa sebarang pemain mengalami kecederaan atau penggantungan.

Bagaimanapun, jurulatih itu mengakui skuad kendaliannya perlu bekerja keras memperbaiki kelemahan, lebih-lebih lagi di barisan pertahanan.

"Yang paling penting, kami perlu menang kerana bermain di tempat sendiri selain perlu menjaringkan gol dan mengelak daripada dibolosi.

"Inilah tiga objektif kami," katanya ketika ditemui sempena persiapan akhir pasukan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, pagi tadi.

Sementara itu, harapan turut disandarkan kepada penyerang, Washington Brandou, dalam membawa pasukannya sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir.

"Dia seorang penyerang yang baik, kami memang mengharapkannya kerana dia merupakan kekuatan kami di bahagian hadapan.

"Saya harap dia boleh beraksi di tahap prestasi terbaik, kepentingan dia beraksi dengan baik amat diperlukan PJ City," tambahnya.