Tonggak tengah Perak, Brendan Gan dan J. Partiban, enggan dibuai mimpi dengan spekulasi panggilan daripada skuad kebangsaan, sebaliknya meletakkan misi The Bos Gaurus dalam Piala Malaysia sebagai keutamaan untuk direalisasikan.

Brendan dan Partiban antara tiga nama yang berada dalam radar ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, bulan depan.

Kedua-dua pemain itu mempamerkan aksi mantap dalam perlawanan akhir Piala FA bulan lalu untuk disenaraikan bagi bertemu Jordan dalam aksi persahabatan 30 Ogos ini sebelum berdepan Indonesia dalam aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, 5 September depan.

Begitupun, Brendan dan Partiban enggan terlalu memikirkan perkara berkenaan, sebaliknya fokus terhadap misi pasukan mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

"Ia amat baik untuk tersenarai, namun pada masa sama, kepentingan utama saya adalah untuk memastikan Perak beraksi baik dalam Piala Malaysia.

"Jika anda beraksi baik, anda berpeluang untuk dipanggil, namun bagi saya, buat masa ini, saya tidak memikirkan tentang pasukan kebangsaan.

"Ia sentiasa satu penghormatan untuk bermain dalam pasukan kebangsaan, namun buat masa ini, saya mahu beraksi baik untuk Perak," kata Brendan.

"Saya gembira sahaja tetapi saya masih ada dua perlawanan lagi dalam Piala Malaysia.

"Jadi, saya fokus itu dulu.

"Selepas dua perlawanan itu, barulah saya akan fikirkan tentang panggilan kebangsaan itu.

"Kalau dapat peluang, saya akan buat yang terbaik," tambah Partiban pula.

Brendan pernah membarisi skuad kebangsaan sebelum ini, manakala Partiban akan membuat penampilan sulungnya andai dipanggil menyertai skuad negara.

Selain dua pemain itu, Cheng Hoe turut bercadang untuk menyenaraikan semula kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, yang sebelum ini diketepikan daripada beberapa tugasan antarabangsa.