Pemain Perak, Brendan Gan, mengakui tidak sabar untuk kembali menyarung jersi The Bos Gaurus walaupun mengakui kepenatan dengan jadual tanpa rehat sekembalinya daripada tugasan bersama kem Malaysia.

Tonggak tengah itu cemerlang ketika beraksi di samping Harimau Malaya dan kini dia mahu melakukan perkara yang sama bersama Perak yang akan berhadapan Pahang, malam ini.

Dia perlu melupakan kepenatan berikutan juara bertahan itu amat memerlukan kemenangan untuk aksi kelima Kumpulan C.

"Memang ia jadual yang padat sekiranya pemain terbabit dengan jadual kelab dan negara tetapi ia bukan satu isu.

"Apabila bersama skuad kebangsaan, kami akan menjalani latihan keras dan fizikal sudah pun terbiasa.

"Kami juga melalui proses pemulihan yang baik," katanya.

Dalam masa yang sama, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, terpaksa menelan hakikat ketiadaan tiga nama penting yang berhadapan dengan penggantungan selain masalah kecederaan.

Leandro Dos Santos bakal menjadi pemerhati ekoran menjalani penggantungan manakala D. Kenny Pallraj dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) masih belum cergas untuk beraksi.

"Ketiadaan beberapa pemain akan memberi ruang kepada pemain lain, saya harap mereka mampu memanfaatkan peluang yang ada," kata jurulatih dari Australia itu.