Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, menerima tamparan hebat ketika skuad Kelantan melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini apabila dilanda krisis dalaman yang serius ekoran peletakan jawatan tiga individu penting dalam badan tersebut.

Tiga individu terbabit ialah bendahari, Datuk Ahmad Razali Ibrahim, serta dua naib presiden, Datuk Aizuddin Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, yang telah meletakkan jawatan pada Khamis dan Jun lalu kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pengurusan persatuan itu.

"Sebenarnya, bagi saya apabila berada dalam kesusahan, kita tidak patut meletakkan jawatan. Sama seperti betapa sukarnya sewaktu ingin mendapatkan jawatan tersebut, ia tidak patut berlaku.

"Itu sahaja yang boleh saya nasihatkan kepada semua, termasuk diri sendiri melainkan jika kita sudah tiada daya ketahanan daripada segi kewangan," ujar Bibi Ramjani.

Dalam masa sama, beberapa exco KAFA juga dikatakan akan mengambil langkah yang sama dalam masa terdekat kerana tidak mampu lagi berkerjasama dengan Bibi Ramjani sehingga menyebabkan Kelantan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Jika lapan daripada 15 ahli jawatankuasa eksekutif KAFA meletakkan jawatan, secara automatik kongres persatuan itu akan diadakan bagi memilih pucuk pimpinan baru.