Sabah tidak memandang mudah cabaran Selangor walaupun pasukan itu mengalami tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Skuad kendalian Jelius Ating itu akan bertandang ke Stadium Shah Alam bertemu The Red Giant untuk aksi kumpulan D saingan Piala Malaysia, malam esok.

"Mereka mungkin mengalami tiga kekalahan berturut-turut namun seperti yang kita sedia maklum, Selangor adalah sebuah pasukan disegani, lebih-lebih ketika mereka beraksi di Shah Alam.

"Saya harap pemain tidak leka dan fokus sepenuhnya untuk memenangi perlawanan itu, saya yakin jika mereka menunjukkan semangat juang seperti perlawanan lalu, kami mampu melakukannya (menewaskan Selangor)," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Jelius berkata, dia mahu anak buahnya mengambil peluang kedudukan mereka ketika ini untuk melangkah ke pusingan seterusnya dan bukannya menunggu sehingga aksi terakhir di peringkat kumpulan.

"Sekiranya kami menang esok, kami hanya memerlukan satu mata pada aksi seterusnya untuk mara ke suku akhir jadi saya harap pemain mengambil peluang ini sebaik mungkin.

"Saya tidak mahu kami terpaksa menunggu pada aksi terakhir untuk mengetahui sama ada layak atau tidak (ke suku akhir) kerana ianya mungkin membawa padah," katanya.

Dalam pada itu, Jelius akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini kecuali Randy Baruh yang akan masuk menggantikan Leopold Alfonso Otong.