Sebelum pengumuman peletakan jawatan Subkhiddin Salleh selaku pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, beliau sempat menjelaskan tindakan dan keputusan menyenaraikan Suresh Jayamaran untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia, minggu lalu.

Beberapa isu yang berlaku di pentas akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu, diterangkan dengan terperinci oleh Subkhiddin selain turut mempertahankan pemilihan Suresh sebagai pengadil adalah tepat.

Ia dipertahankannya di sebalik Suresh tiada dalam senarai pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Kalau kita cuba mendapatkan maklumat di laman sesawang FIFA, nama pengadil final Piala FA musim ini tidak ada tetapi dia mengendalikan perlawanan dengan baik," katanya.

Subkhiddin turut tidak bersetuju dengan saranan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mahu membawa masuk pengadil asing untuk Liga Malaysia.

"Ramai yang mengatakan kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) berjalan dengan cantik, tetapi semalam ada berlaku masalah juga.

"Tetapi, ia tidak menjadi tular kerana semua orang berpendapat, asalkan Eropah semuanya bagus.

"Saya bangga dengan produk Malaysia," katanya lagi.

Peletakan jawatan Subkhiddin nyata mengejutkan ramai pihak.

Ia dilihat satu kerugian besar bukan sahaja untuk bidang pengadilan, malah bola sepak secara khususnya.

Reaksi itu disuarakan bekas pengadil FIFA, Amir Sharifuddin Wong, yang mempunyai pengalaman dalam dunia pengadilan bola sepak hampir 20 tahun dan pernah diangkat selaku pengadil FIFA dari 1992 hingga 1994 serta mengakui sedikit kecewa dengan tindakan Subkhiddin itu.

"Adalah sesuatu yang merugikan jika kita melepaskan seseorang yang memiliki kewibawaan sedemikian.

"Selagi dia (Subkhiddin) belum melahirkan pengadil yang mampu mewakili Malaysia dalam FIFA, FAM sepatutnya tidak menerima peletakan jawatannya," katanya.

Bidang pengadilan bola sepak negara seharusnya menggunakan segala kepakaran yang dimiliki Subkhiddin dalam misi meletakkan kembali kepercayaan peminat bola sepak negara terhadap mutu pengadilan yang dikritik hebat sejak kebelakangan ini.

Ditanya apakah barisan pengadil bola sepak negara dalam kedudukan membimbangkan, ini jawapannya.

"Ia tidak membimbangkan kerana kita ada calon pengadil yang berpotensi tinggi.

"Dalam setiap pertandingan, jika ada kelemahan, ia perlu diperbaiki segera menerusi analisis rakaman, bimbingan dan tunjuk ajar mengenai macam mana seseorang pengadil itu boleh beraksi lebih baik, tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun baru tindakan diambil," katanya lagi.