Hasrat UiTM FC untuk mengakhiri saingan Piala Malaysia musim ini dengan sekurang-kurangnya mengutip satu mata tidak berlaku apabila tewas 1-2 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Shah Alam, malam tadi.

Bermula dari awal permainan lagi, jurulatih UiTM, Ismail Zakaria, sudah menyuarakan hasrat untuk melihat aksi di Shah Alam itu berakhir dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Hasrat itu bermula dengan baik apabila anak buahnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi Zulkifli Zakaria pada minit ke-30.

Tidak rela ketinggalan, Harimau Selatan cuba menguasai permainan dan cetusan jaringan penyamaan JDT terhasil menerusi Adam Nor Azlin pada minit akhir separuh masa pertama.

Pelawat menampilkan ramai pemain yang jarang bermain, namun ia tetap bukan jaminan tugasan mudah buat The Lion Troops.

Ia jelas dapat dilihat menerusi jaringan tambahan daripada Fadhli Shas yang terhasil pada minit ke-59 untuk JDT memimpin permainan.

Ada usaha daripada anak buah Ismail itu untuk menyamakan kedudukan, namun ia kekal sehingga minit akhir.

"Bukan mudah untuk berdepan UiTM memandangkan mereka memberi saingan tinggi dengan menghambat dan mencabar setiap bola.

"Tetapi kami mengambil kesempatan untuk menurunkan pemain yang kurang minit permainan bagi memastikan mereka dalam prestasi dan tempo yang baik," kata jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Ismail pula berpandangan: "Kami tidak meletakkan sasaran tertentu dalam kempen ini.

"Walaupun kami gagal mengutip sebarang mata, apapun saya berpuas hati kerana ini pengalaman pertama yang mereka raih dalam Piala Malaysia."

Satu lagi tiket suku akhir Kumpulan B menanti untuk diisi pemenang di antara PKNP dan Petaling Jaya (PJ) City yang ditunda kepada Jumaat ini ekoran virus Influenza B, dengan masing-masing merekodkan sembilan dan tujuh mata daripada lima perlawanan terdahulu.