Azamuddin mahu balas kepercayaan Kedah

Oleh Staff Writer 1 November 2019 243
Azamuddin mahu balas kepercayaan Kedah
Pemain sayap berpengalaman, Azamuddin Akil, mahu membalas budi majikannya, Kedah, dalam usaha menjulang trofi Piala Malaysia keempat untuk rekod peribadinya. 

Kedah mengambil risiko menandatangani Azamuddin pada penghujung 2018 biarpun pemain berasal dari Kuala Lipis itu bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki.

Azamuddin hanya kembali beraksi Mei lalu dan dalam tempoh enam bulan sehingga kini, dia sudah menunjukkan persembahan cemerlang dan berjaya membantu Lang Merah mendakap Piala FA,
Julai lalu.

Justeru, berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) malam esok bakal menjadi penutup terbaik untuk Azamuddin bersama Kedah memandangkan kontrak pemain itu bakal berakhir penghujung tahun ini.

"Kedah adalah pasukan bukan pilihan kerana tiada siapa yang menjangkakan kami dapat melangkah ke dua aksi final tahun ini," kata Azamuddin.

Pemain berusia 34 tahun itu juga sudah masak dengan suasana final liga tempatan, dengan dia secara peribadi sudah merangkul tiga gelaran Piala Malaysia, dua kali bersama Pahang dan sekali bersama JDT.

"Perasaan gementar mungkin hadir jika beraksi dalam aksi final buat kali pertama tetapi selepas empat atau lima kali di pentas ini, saya tidak berasakan begitu gementar dan akan cuba yang terbaik untuk pasukan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen