Pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Marcos Antonio Santos, melabel pertemuan pasukannya dengan Pahang seperti pertemuan dua musuh tradisi kerana ia dijangka berlangsung dengan penuh warna-warni serta drama.

Antonio kembali bersama JDT selepas digantung satu perlawanan menghadapi MISC-MIFA dan dijangka menjadi pertaruhan memperkuatkan barisan pertahanan bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak atau Fadhli Shas.

Dia menjelaskan mereka tidak sabar menghadapi pertemuan suku akhir pertama ini kerana aksi dengan Pahang sentiasa sengit memandangkan kedua-dua pasukan bakal tampil dengan semangat luar biasa.

"Setiap orang mengetahui perlawanan berdepan Pahang sentiasa menampilkan aksi penuh dramatik. Kami akan cuba memenangi perlawanan ini," kata Antonio.

Walaupun rekod terakhir di Stadium Darulmakmur pada 12 Jun lalu memihak kepada JDT, namun rekod mereka kurang baik tiap kali bertembung di pentas saingan kalah mati.

Dua kali tersingkir di pentas Piala FA di tangan Pahang, Antonio menjelaskan dia hanya mahu fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan tanpa memikirkan rekod lalu.

"Saya tidak terlalu memikirkan mengenai rekod sebelum ini. Kami memberikan fokus untuk perlawanan ini dan cuba mengulangi usaha yang lebih mantap di Larkin nanti."