"Tolong berikan kata-kata semangat, bukan cercaan", itu luahan penyerang Pahang, Austin Amutu, yang meminta penyokong setia Tok Gajah agar sentiasa menjadi pemain ke-12 pasukan dalam apa jua situasi yang berlaku semasa permainan di atas padang.

Hadir sebagai pengganti Francis Forkey Doe, teryata ia merupakan satu harapan tinggi kepada penyerang berasal dari Nigeria itu.

Masih gagal memenuhi jangkaan penyokong Pahang, Amutu jujur berterus-terang dia sedikit kecewa dengan layanan sebahagian penyokong Pahang kepada dirinya setiap kali turun beraksi.

Maka, situasi itu menjadikan dirinya berperang dengan tekanan setiap kali turun beraksi bersama skuad kendalian Dollah Salleh itu.

"Apabila pemain tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan, penyokong perlu memberikan sokongan bagi meningkatkan semangat mereka untuk beraksi," kata Amutu.

Amutu, dalam pada itu, bertekad mahu menjadikan aksi suku akhir bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai medan mendapatkan kembali kepercayaan peminat.

Walaupun menyedari ia satu tugas sukar memandangkan lawan hadir dengan reputasi tinggi selaku juara bertahan, dia yakin kekuatan semangat berpasukan akan membantu mereka mendapatkan kemenangan selesa di tempat sendiri.

"Pasukan akan cuba yang terbaik dan JDT adalah lawan yang sukar. Beraksi di laman sendiri, Pahang perlu menampilkan prestasi yang berkualiti dan mengelak daripada dibolosi."