Perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia di antara PKNP FC dan Petaling Jaya City (PJ City FC) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Selasa ini, terpaksa ditunda kepada satu tarikh baru selepas beberapa pemain PJ City FC dijangkiti virus Influenza B.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi memaklumkan perlawanan berkenaan akan diadakan Jumaat depan di venue yang sama pada pukul 9 malam.

Susulan perubahan tarikh perlawanan berkenaan, MFL menjelaskan aksi suku akhir pertama di antara Juara Kumpulan A dan Naib Juara Kumpulan B terpaksa dipinda kepada 24 September depan.

Untuk rekod, PJ City dan PKNP FC menduduki tangga kedua dan ketiga Kumpulan B selepas masing-masing mengutip sembilan dan tujuh mata setelah beraksi lima perlawanan.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), telah layak ke suku akhir selaku juara kumpulan dengan kutipan 13 mata selepas lima perlawanan.

Dalam pada itu, MFL turut memaklumkan mereka telah meluluskan permohonan pasukan Sarawak untuk menukar tarikh perlawanan separuh akhir pertama Piala Cabaran menentang UKM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya daripada 21 kepada 22 September.

MFL memaklumkan perlawanan berkenaan kekal berlangsung pada pukul 8.15 malam.

-- BERNAMA