Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, menegaskan anak buahnya sudah melupakan mimpi ngeri di Stadium Darul Aman tempoh hari dan sedia bangkit untuk kembali meletakkan diri mereka sebagai pilihan utama lolos ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia 2019.

Kedah dimalukan Terengganu walaupun berdepan 10 pemain selepas penjaga gol, Ilham Amirullah, dilayangkan kad merah ketika tewas dengan keputusan 0-2.

Tempoh rehat digunakan sebaik-baiknya untuk membaiki kelemahan dan Aidil Sharin mengidamkan untuk membawa pulang tiga mata ke Alor Setar dalam kunjungan mereka ke Shah Alam berdepan PKNS, esok.

Bagaimanapun, perancangannya tampak terencat dengan kecederaan yang melanda tonggak tengah, Farhan Roslan, dan pertahanan, Azmeer Yusof.

"Kedah telah melupakan kekalahan lalu dan cuba mempamerkan aksi yang positif malam esok," katanya.

Di atas kertas, Kedah mempunyai rekod yang baik menentang skuad kendalian K. Rajagobal itu -- sepanjang empat pertemuan tahun ini, Kedah melakar dua seri dan dua kemenangan.

"Terdapat beberapa pemain yang tidak dapat beraksi ekoran kecederaan. Bagaimanapun, kami telah memiliki pengganti tonggak utama itu bagi menghadapi aksi di Shah Alam," ujarnya.