Semangat berpasukan tinggi menjadi faktor utama bagi skuad PKNP FC selepas meraih tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia ketika menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Beraksi tanpa beberapa tonggak utama dan terpaksa menggunakan pemain daripada skuad Piala Presiden dilihat sebagai punca pasukan UiTM tewas 0-2 kepada PKNP.

Bagi pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, kemenangan itu menyuntik semangat baru buat pasukannya sambil memuji semangat sepasukan yang ditampilkan anak buahnya.

"Kemenangan merupakan harapan yang kami mahukan dan tiga mata berjaya dijelmakan pemain-pemain," katanya.

"Persembahan kami agak baik cuma tidak bernasib baik untuk menghasilkan jaringan," kata pengendali UiTM, Ismail Zakaria.

Dalam perlawanan itu, pelawat mendahului pada minit ke-45 menerusi jaringan pemain import dari Filipina, Amani Santos Aguinaldo, dan lima minit sebelum tamat perlawanan, Pedro Victor berjaya menjaringkan gol kedua buat pasukannya.

PKNP bakal menutup aksi pusingan pertama peringkat Kumpulan B, Jumaat depan apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah meraih dua kemenangan.