Abu Bakar Fadzim memuji persembahan pemain PKNP FC ketika mengikat gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Bagi jurulatih itu, semangat pemain PKNP yang tidak menyerah mudah, adalah faktor yang membantu kejayaan mereka ketika mengutip satu mata dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia itu.

"Pemain berjuang hingga ke wisel penamat untuk membolehkan keputusan ini.

"Seri dengan JDT ibarat menang kerana kami pasukan kerdil.

"Saya berharap mereka mampu meneruskan momentum ini dalam perlawanan mendatang," katanya.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah ketinggalan 0-2 selepas 14 minit melalui dua jaringan Gonzalo Cabrera tetapi bangkit melalui jaringan penalti Yashir Pinto sebelum rehat, diikuti gol penyamaan Giancarlo Lopes pada minit ke-78.

“Saya berpuas hati dengan keputusan tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan.

“JDT menguasai pada awal permainan tetapi pemain PKNP tidak berputus asa dan kami terus mengatur serangan-serangan bahaya dan mula mengancam kubu lawan.

"Kesungguhan mereka berhasil apabila kami menyamakan kedudukan.

"Malah, kami memiliki peluang untuk memenangi perlawanan apabila mendapat kesempatan satu lawan satu tetapi gagal disudahkan," ujarnya.

Abu Bakar memuji persembahan semua awang import, termasuk Pedro Victor dan Amani Aguinaldo, kerana memberikan sumbangan besar dalam membantu pasukan.

"Mereka memainkan peranan berkesan untuk membimbing rakan sepasukan menghadapi cabaran yang dilontarkan pelawat.

"Inilah yang diharapkan daripada mereka selama ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih pelawat, Benjamin Mora, mempertahankan kesilapan mudah Adam Nor Azlin walaupun ia menjadi punca kegagalan mereka membawa pulang mata penuh.

"Ada masanya kesilapan yang dilakukan pemain dilakukan pada masa yang kurang tepat.

"Kalau kami sedang mendahului 4-0 dan dia melakukan kesilapan, tiada siapa yang akan bercakap mengenainya," kata pengendali dari Mexico itu.

Sementara itu, penjaga JDT, Ifzam Tarmizi Roslan, menuntut kebangkitan di Larkin bagi aksi pusingan kedua.

"Kami tidak patut seri malam ini dan sepatutnya meraih tiga mata.

"Kami akan berentap lagi di Larkin minggu depan dan perlu perbaiki kesilapan malam ini," katanya.