Abu Bakar pilih Fandi, tolak Anzite

Oleh Staff Writer 4 Ogos 2018 2590
Abu Bakar pilih Fandi, tolak Anzite
Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mempertaruhkan kudrat penyerang tempatan, Fandi Ahmad, untuk aksi Piala Malaysia menentang Selangor di Shah Alam malam ini selepas menyisihkan penyerang import, Franklin Anzite, dalam kempen musim ini.

Keputusan itu diambil selepas Abu Bakar menilai sumbangan Anzite sepanjang aksi Liga Super 2018 yang sangat mengecewakan.

Dia hanya mampu menjaringkan satu gol dalam 21 perlawanan liga ketika pemain tempatan seperti Hafiz Ramdan lebih menyerlah, termasuk Fandi yang baru sahaja diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya, Anzite diketepikan kerana dalam 21 perlawanan, dia beraksi di bawah jangkaan. Jadi, saya memberi peluang kepada pemain tempatan seperti Fandi untuk dipertaruhkan di depan gol. Diharapkan dia dapat membalas kepercayaan itu malam ini," kata Abu Bakar.

"Saya akan cuba lakukan yang terbaik. Jika sebelum ini saya tidak begitu yakin untuk menjaringkan gol, saya berharap mampu menyumbat jaringan malam ini," tambah Fandi.

Dalam masa sama, skuad PKNP juga akan bergantung kepada dua pemain import, Ritus Krjauklis dan Kim Sang Woo, untuk mengemudi cabaran pasukan kerana Karl Max belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Dalam kempen Piala Malaysia musim lalu, PKNP mencetuskan sensasi apabila mengetepikan Pahang, Negeri Sembilan dan T-Team untuk mengungguli saingan Kumpulan A dan nyaris melakar kejutan di peringkat suku akhir sebelum tewas agregat 5-4 di tangan Felda United.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen