Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengakui kekuatan PKNS FC, namun tetap mengharapkan anak buahnya bijak mencuri peluang untuk menewaskan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selepas tewas 1-0 kepada PKNS FC dalam Liga Super minggu lalu, Yusri yakin mereka sudah mengenal pasti kelemahan yang ada dan bakal turun dengan semangat baru bagi menebus kekalahan itu.

“Kami mahu melangkah jauh dalam saingan Piala FA kali ini. Kedua-dua pasukan dijangka beraksi dengan penuh berhati-hati tanpa mahu melakukan sebarang kesilapan yang boleh menghancurkan peluang yang ada.

“Cuma, pasukan yang bijak menyempurnakan peluang malam ini akan keluar sebagai pemenang. Saya harap, selepas kami tewas tipis kepada mereka (PKNS FC) dalam aksi Liga Super, jentera serangan Kelantan akan lebih bijak memanfaatkan peluang sepanjang 90 minit permainan,” katanya.

Yusri juga mengakui barisan tengah PKNS yang beraksi cemerlang sebelum ini perlu ‘dibunuh’ dan pemain TRW perlu cepat menyerap tekanan bagi mengusai posisi penting itu jika mahu bersaing dan menjadikan perlawanan itu lebih menarik.

”Saya perlu merancang formasi terbaik bagi melumpuhkan jentera tengah PKNS yang begitu selesa menguasai permainan dalam aksi di Shah Alam sebelum ini. Mereka bijak menekan barisan pertahanan kami.

“Kalau tidak, sukar untuk TRW mencipta kejutan menyingkirkan PKNS. Diharapkan, semua pemain dapat mempraktikkan segala formasi yang dirancang dalam sesi latihan selama seminggu."

Untuk rekod, TRW mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menyingkirkan Terengganu City FC (TCFC) 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV.