Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar, menyifatkan kejayaan merangkul Piala FA 2017 sangat istimewa buat dirinya kerana berjaya mengulangi pencapaian sembilan tahun lalu di samping dinobat pemain terbaik perlawanan.

Baddrol merupakan satu-satunya pemain Kedah yang beraksi di pentas final 2008, yang juga kali terakhir skuad Hijau Kuning meraih gelaran Piala FA.

Ketika itu, Baddrol selaku tonggak muda membantu Kedah menewaskan Selangor 3-2.

Turut membantu Kedah melengkapkan gelaran 'double treble' pada musim itu, Baddrol mengakui kejayaan kali ini mempunyai kemanisannya tersendiri.

"Turun sebagai pemain berpengalaman dalam final Piala FA, ia merupakan tanggungjawab saya membantu pasukan meraih kemenangan ini," katanya.

Untuk rekod, Baddrol muncul penjaring Kedah ketika aksi terakhir kedua-dua pasukan dalam Piala FA, iaitu separuh akhir kedua pada 2008.

Seolah-olah mempunyai tuah berdepan Tok Gajah, Baddrol cemerlang menyumbat dua gol untuk membantu Kedah menewaskan Pahang 3-2, sekaligus impiannya untuk menghadiahkan kejuaraan Piala FA kepada ibunya juga tercapai.

"Kejayaan ini merupakan hadiah hari jadi buat ibu saya, ia merupakan satu kemenangan yang bermakna buat saya."