PAHANG 0 JOHOR DARUL TA'ZIM 0

Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membawa sedikit bekalan ke tempat sendiri lebur apabila mencatat keputusan seri 0-0 dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Darulmakmur, sebentar tadi.

Beraksi di tempat lawan, JDT nyata tidak menunggu lama untuk menguji benteng Pahang seawal minit kelima menerusi gerakan pantas pemain sayap, Muhammad Safawi Rasid, dari sebelah kanan tetapi Mohd Afif Amiruddin pantas mengeluarkan bola.

Lima minit kemudian, sepakan percuma Safiq Rahim memberikan ruang buat Marcos Antonio untuk melepaskan rembatan, namun percubaan pertahanan dari Brazil itu sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Pahang.

Pelawat meraih peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-28 apabila Safawi menerima hantaran leret Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham. Bagaimanapun, percubaan kaki kiri pemain kebangsaan itu tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Alias, sebelum sepakan percuma Safiq sekadar singgah ke palang gol, 10 minit kemudian.

Kekebalan Helmi Eliza di gawang tuan rumah diteruskan apabila menepis keluar tandukan Mohamad Fadhli Shas yang menyambut bola sepakan sudut Safawi dari sebelah kanan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Lapan minit babak kedua bersambung, Pahang yang lebih banyak bertahan dalam separuh masa pertama memperoleh peluang keemasan untuk menghukum kealpaan benteng JDT.

Penyerang import, Patrick Cruz, menggunakan kesempatan kekalutan di depan gawang pelawat untuk membuka ruang buat Chan Vathanaka melepaskan rembatan kaki kiri tetapi bola sekadar mengenai tiang gol tatkala Farizal Marlias telah tertewas.

Kemasukan R. Kogileswaran pada minit ke-82 menggantikan Chan tetap menyaksikan Pahang buntu untuk mencari gol pendahuluan sementara Nicolas Fernandez gagal memberikan impak buat JDT selepas masuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Safawi.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan bakal menentukan pemenang dalam aksi kedua suku akhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 20 April ini.


Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers