Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, dihimpit sedikit keresahan apabila Patrick Dos Santos Cruz dan Norshahrul Idlan Talaha menanggung kecederaan menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA berdepan Kedah, malam esok.

Begitupun, pengendali Tok Gajah itu mendakwa dia sudah ada perancangan sekiranya ayam tambatannya tidak dapat diturunkan dalam aksi di Kuantan itu.

"Kalau Mat Yo (Norshahrul) tidak dapat beraksi malam esok, saya masih ada Kecik (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria) dan Miki (Faisal Halim), jadi saya tidak berapa khuatir.

"Apa yang dikhuatiri peluang Patrick untuk diturunkan masih samar-samar.

"Apa yang dimaklumkan kepada saya tadi, dia yakin boleh beraksi," kata Dollah.

Ketua pasukan, Matthew Davies, tidak berniat untuk membalas dendam selepas Lang Merah menyekat hajat mereka menjulang Piala FA musim lalu, seterusnya meraih tiket ke suku akhir.

"Kami tidak terlintas untuk membalas dendam.

"Agak malang dua pasukan gergasi bertembung awal tetapi dalam masa sama, kami yakin dapat meraih keputusan yang dihajati kerana akan bermain di depan penyokong sendiri," kata pemain pertahanan itu.