"Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum bersedia," itu rumusan yang dapat dibuat apabila badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) berkenaan mengesahkan khidmat pengadil dari luar negara tidak akan digunakan dalam perlawanan akhir Piala FA di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Perlawanan akhir itu, yang memasuki edisi ke-30, sebelum ini dicanang akan diadili oleh pengadil import.

Ia sebagai langkah percubaan untuk mengukuhkan lagi sistem pengadilan bola sepak tanah air selain mengelak insiden kontroversi final Piala Malaysia 2018 berulang.

Namun, hasrat itu nyata omong kosong apabila kudrat pengadil tempatan tetap ditagih untuk mengadili aksi berprofil tinggi pertama musim ini -- penentuan kejuaraan Piala FA.

"Tidak (pengadil import) untuk perlawanan akhir Piala FA, tetapi mungkin dalam final Piala Malaysia.

"Tetapi dalam masa yang sama, ada usaha daripada unit pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa masuk pengadil luar tetapi bukan untuk final Piala FA kali ini," kata Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di venue pertandingan, hari ini.

Antara lain, kedua-dua pasukan bersetuju dengan pemilihan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue aksi final walaupun kualiti padangnya sebelum ini dipersoal.

"Kedah dan Perak juga mengajukan soalan yang sama dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengesahkan dari tarikh hari ini sehingga 27 Julai, akan sentiasa ada penambahbaikan dan penjagaan padang dalam memastikan apa yang berlaku ketika play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 tidak berulang.

"PSM juga mengesahkan tidak akan menganjurkan sebarang acara-acara sukan di padang stadium sehinggalah perlawanan akhir Piala FA," katanya lagi.