Pengurus Batu Dua FC, Hairil Azri Abu Hassan, menafikan dakwaan wujudnya elemen mengatur perlawanan ketika pasukannya mencatat kemenangan bersejarah 17-1 ke atas Rawang City FC dalam aksi pusingan kelayakan Piala FA 2019, malam tadi.

Sebaliknya, beliau berkata pemain pasukan Batu Dua FC menampilkan aksi bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh fokus untuk mencatat jurang kemenangan begitu besar dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya itu.

“Alhamdulillah, kami beri kepercayaan kepada ketua jurulatih (Zulhamizan Zakaria) dan pemain telah menunjukkan kesungguhan mereka dengan meneruskan jaringan gol tanpa mengira nombor,” katanya kepada pemberita selepas majlis undian pusingan pertama Piala FA 2019 hari ini.

Hairil berkata pasukan itu yang memiliki bajet di antara RM100,000 dan RM500,000, menyasarkan untuk menjuarai Liga M3 (Divisyen 3) dan mara ke suku akhir Piala FA.

Batu Dua FC yang dibarisi bekas pemain kebangsaan, Abdul Manaf Mamat; bekas pemain import MIFA, L'Imam Seydi; Azidan Sarudin, Fakhrulrazi Musa dan bekas pemain Pahang, Rizua Shafiqi; diundi bertemu sebuah lagi pasukan amatur, Klasiko FC -- menewaskan Raja Permin 5-3 -- dalam pusingan pertama kelak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, turut menepis dakwaan wujudnya elemen rasuah dalam menentukan keputusan perlawanan tersebut.

“Disebabkan keputusan 17-1, itu tidak bermakna ia ada elemen skandal atur perlawanan. Apabila kami membawa pasukan-pasukan amatur dalam saingan Piala FA, perkara begini memang boleh berlaku kerana variasi kualiti pelbagai pasukan dan ia berlaku di seluruh dunia.

“Ini kerana wujud jurang besar di antara kedua-dua pasukan ini. Batu Dua FC jelas memiliki bekas pemain-pemain berpengalaman dan profesional, jadi kami tidak mempertikaikan integriti perlawanan ini hanya kerana keputusan jaringan besar,” katanya.

Kevin turut mengesahkan bahawa statistik daripada pusingan kelayakan, termasuk penjaring, tidak akan diambil kira dalam menentukan penjaring terbanyak Piala FA kali ini, malah pihaknya hanya akan menggunakan statistik bermula pusingan pertama.

Pusingan pertama Piala FA melibatkan 20 pasukan amatur untuk menentukan 10 pemenang ke pusingan kedua saingan kalah mati itu yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac ini.

Perlawanan pusingan pertama:

Penjara FC lwn MOFAH FC
Batu Dua FC lwn Klasiko FC
Tun Razak FC lwn SAMB FC
MD Besut FC lwn Jerantut FA
Kampung Raja Uda FC lwn JBFA
Ultimate FC lwn KSR Sains
MPKJ FC lwn Kelantan United
PIB FC lwn Real Chukai FC
Protap FC lwn Banggol Tokku FC
FC Pemanis lwn Kuching FA


-- BERNAMA