KELANTAN UNITED 1 TERENGGANU 3

Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan tuan rumah, Kelantan United FC, 3-1 dalam aksi menarik pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


TFC, yang terdesak mahu mencipta kemenangan selepas longlai dalam aksi Liga Super, membariskan skuad terkuat, termasuk menurunkan pemain tengah, Lee Tuck, yang baru pulih daripada kecederaan selain penyerang, Kipre Tchetche, yang mahu menamatkan kemarau jaringan.

Kelantan United mengasak awal kubu skuad Penyu dan hasil kesilapan pemain lawan, Mohammad Rozaimi Azwar Mat Noor, menggembirakan penyokong tuan rumah apabila sepakan lambungnya menewaskan penjaga gol TFC, Mohd Suffian Ab Rahman, pada minit kesembilan.

TFC cuba bangkit mencari gol penyamaan melalui kelincahan Tchetche dan bintang kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, namun benteng Kelantan United yang diketuai kapten, Mohd Shahrizan Ismail, kental bertahan.

Penyerang sensasi Kelantan United, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, hampir menambah jaringan apabila sepakan leretnya dalam kotak penalti ditangkap kemas Mohd Suffian pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, TFC mendapatkan gol penyamaan apabila sepakan kencang Shaakhmedov pada minit ke-50 menewaskan Mohd Shahrizan.

Selang tiga minit, Tchetche menamatkan kemarau jaringannya apabila sepakan kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Shahrizan untuk gol kedua TFC.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu hampir menjaringkan gol ketiga TFC, namun sepakannya pada minit ke-66 tersasar biarpun penjaga gawang, Mohd Shahrizan, sudah tertewas.

Ketua pasukan TFC, Tuck, terus menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga skuad Penyu melalui rembatan kencang pada minit ke-73.

Kredit Foto: Kelantan United FC

Keputusan lain:

SELANGOR 1 FELDA UNITED 2

KEDAH 2 PJ CITY FC 0

PULAU PINANG 2 KUALA LUMPUR 4