Pasukan Kedah bertekad memberi persembahan terbaik dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini, sekali gus merangkul trofi kejuaraan untuk dihadiahkan kepada penyokong.

Kapten skuad Lang Merah, Baddrol Bakhtiar, berkata persediaan pasukannya setakat ini berada di tahap begitu baik dan tumpuan diberikan sepenuhnya semasa latihan dengan panduan jurulatih.

Dia juga menjelaskan pasukannya turut mempunyai keharmonian serta momentum terbaik untuk menghadapi perlawanan akhir itu nanti.

“Kalau ada rezeki Kedah pada tahun ini, kami (akan) menghadiahkan piala itu (Piala FA) kepada penyokong Kedah dan pasukan, itu satu janji kami kepada penyokong,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman.

Walaupun dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman baru-baru ini pasukannya berjaya menewaskan Perak 4-2, kapten itu menegaskan ia tidak memberi keselesaan kepada pasukannya dan tidak memandang rendah pada situasi itu.

"Mungkin pasukan Perak ada menyimpan sesuatu, jadi kami akan terus pandang ke hadapan dan akan fokus,” tambahnya.

Sementara itu, Baddrol berkata perlawanan menentang Felda United untuk saingan Liga Super selepas ini sangat penting kerana Kedah memerlukan tiga mata penting untuk mengekalkan kedudukan tangga ketiga dan berada dalam kelompok lima terbaik.

Skuad Lang Merah akan berhadapan dengan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini.

Kredit foto: Kedah FA

-- BERNAMA