Tonggak import baru Perak, Ronaldo Henrique Silva, menyifatkan perjalanannya sejauh 15,954 kilometer dari Sao Paulo, Brazil, ke Ipoh berbaloi selepas dia tangkas meletakkan diri sebagai penggempur utama The Bos Gaurus.

Silva tidak perlu menunggu lama untuk memikat hati peminat skuad Yob.

Dua ledakannya di peringkat suku akhir kedua Piala FA 2019 ketika menentang PKNP di Stadium Perak, malam tadi, sudah cukup untuk dia mula membina tapak dalam usaha menjadi antara penyerang import yang digeruni dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Silva sebenarnya pernah dirisik Pahang pada awal musim ini, namun tiada sebarang ikatan dibuat oleh pengurusan Tok Gajah, lantas pemain kebangsaan bawah 20 tahun Brazil tersebut kekal bersama kelab di negaranya, Esporte Clube XV de Novembro.

"Saya amat berterima kasih kepada Perak dan kalau saya boleh melakar sejarah membawa kejuaraan kepada Perak, saya pasti akan berasa gembira," katanya.

Ironinya, Perak akan berdepan dengan Pahang yang juga juara bertahan di peringkat separuh akhir Piala FA.

Sementara itu, kali terkahir Perak mendakap Piala FA adalah 15 tahun lalu, iaitu dalam edisi 2004 apabila menumpaskan Terengganu 3-0.

"Bola sepak di Brazil menerapkan sentuhan teknikal dan bermain di ruang kecil dan bola sepak di sini juga menarik tetapi berbeza," tambahnya.