Kapten pasukan PKNP, Shahrel Fikri Md Fauzi, membuktikan dia masih antara penjaring tempatan yang paling prolifik setakat ini, sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan senarai penjaring yang kebanyakannya dimonopoli pemain import.

Jurulatih, Abu Bakar Fadzim, membuat beberapa pertukaran taktikal, antaranya membabitkan Shahrel dengan meletakkan dia beraksi di posisi sayap kanan berbanding aksi suku akhir pertama 7 April lalu apabila dia bertindak sebagai penyerang.

Strategi itu membuahkan hasil apabila Shahrel dilihat mempunyai ruang yang bebas untuk bergerak sehingga dia mampu menjaringkan dua gol pada minit ke-14 dan 42, dengan kedua-duanya menerusi tandukan.

Dua gol itu juga membawa PKNP melakar lembaran baru dalam sejarah penubuhannya apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir buat julung kalinya.

Stadium Tun Abdul Razak, Jengka bukanlah asing buat Shahrel kerana dia pernah mencipta hatrik ketika membenam Felda United 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia musim lalu.

"Saya bersyukur dapat membawa PKNP mara ke separuh akhir dan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu dalam menghasilkan dua jaringan itu," katanya.

Shahrel turut memperoleh peluang untuk mencipta hatrik ketika berdepan Felda pada Jumaat lalu, namun percubaannya pada minit ke-82 berjaya ditepis penjaga gol, Mohd Farizal Harun.

Cabaran getir menanti Shahrel dan pasukannya apabila dijadualkan bertemu gergasi Pantai Timur, Pahang, di peringkat separuh akhir.

"Tiada apa yang merugikan buat PKNP kerana kita tahu Pahang memiliki barisan pemain import dan naturalisasi yang bagus. Kami hanya mahu bermain dengan baik ketika menentang mereka nanti," ujarnya.

Imej: Asiana