Selangor terpaksa menunggu sehingga ke penentuan penalti untuk memastikan slot ke separuh akhir Piala FA menerusi kemenangan 8-7 dalam penentuan sepakan penalti setelah terikat agregat 3-3 di Cheras, malam tadi.

Segalanya bermula dengan aksi 90 minit yang gagal dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Gergasi Merah yang memiliki kelebihan tiga jaringan hasil aksi suku akhir pertama dua minggu lalu.

Kuala Lumpur memberi ancaman awal menerusi jaringan pertama mereka yang disempurnakan Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-15.

Seterusnya, jaringan Paulo Josue yang menerima hantaran Indra Putra Mahayuddin (m-40) memberi tamparan hebat buat anak buah Nazliazmi Nasir itu.

Sembilan minit memasuki babak kedua, Kuala Lumpur sekali lagi membuatkan Selangor tersentak, kali ini menerusi gol Syazwan Andik Ishak.

Tiga jaringan Kuala Lumpur itu menyaksikan agregat terikat 3-3 untuk mengheret permainan ke masa tambahan yang gagal mengubah kedudukan, hanya untuk ditentukan melalui sepakan penalti.

Kegagalan Indra Putra dan dan Firdaus Faudzi menyempurnakan penalti kedua dan kesembilan memberikan Selangor kemenangan tipis untuk mengisi slot separuh akhir.

"Kami kalah 3-0 dalam tempoh sebenar permainan tetapi ini adalah pertandingan kalah mati, kami masih berpeluang dalam penentuan penalti dan pemain melakukannya dengan baik.

"Pujian harus diberikan kepada Kuala Lumpur," kata Nazliazmi.

Sementara itu, penolong jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fat, enggan menuding jari kepada sesiapa di atas kegagalan mereka, sebaliknya menghamburkan pujian terhadap semangat anak buahnya.

"Kami telah melakukan yang terbaik dan tidak dapat meminta lebih lagi.

"Mereka layak diberi pujian.

"Penentuan penalti merupakan nasib, pemain kami masih muda termasuk penjaga gol, Khatul Anuar Jalil," katanya.