Menang tetapi tiada riak gembira di wajah pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, yang terpaksa mengharungi saat getir sebelum mereka mengesahkan slot separuh akhir Piala FA menerusi penentuan penalti 8-7 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA, malam tadi.

Turun dengan kelebihan tiga jaringan, hakikat Gergasi Merah terpaksa berhempas-pulas sehingga ke tahap yang sukar bukanlah apa yang dihajati Nazliazmi.

Ia seolah-olah kemenangan manis 3-0 dalam pertemuan pertama tidak membawa sebarang makna kepada anak buahnya.

Nazliazmi tidak dapat mengetepikan rasa kecewa terhadap tonggak yang gagal menggalas tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

"Kami tidak boleh pandang rendah terhadap mana-mana pasukan. Saya tidak menjangkakan perlawanan ini sampai ke penentuan penalti.

"Bukan saya tidak gembira tetapi saya agak terkejut dengan kebangkitan Kuala Lumpur. Saya memuji Kuala Lumpur kerana sentiasa memberi tekanan, ini pengajaran berguna buat kami," katanya.

Selangor kehilangan tiga tonggak, Willian Pacheco, Halim Zainal dan Amri Yahyah yang digantung perlawanan.

Nazliazmi tidak rela perkara sama berulang lagi selain ingin meneliti semula keupayaan sebenar skuad bimbingannya itu.

"Pada 20 minit awal, Selangor banyak memberi ruang kepada Kuala Lumpur untuk sentiasa menjana gerakan dan mempelbagaikan variasi corak serangan.

"Dua gol pada separuh masa pertama adalah disebabkan pertahanan kami yang tidak kompak," katanya lagi.

Sementara itu, penolong jurulatih The City Boys, Chong Yee Fat, melihat aksi sehingga ke penentuan penalti umpama mencuba nasib.

Ternyata, barisan Kuala Lumpur tidak bernasib baik seperti Selangor, namun mereka sudah sedaya-upaya membuktikan penguasaan mereka hingga mencetuskan kebimbangan kem lawan.

"Kami berasa terganggu, bukannya kecewa mahupun kesal.

"Kami telah membuat persiapan. Perancangan awal kami untuk mendapatkan jaringan awal berjaya.

"Kami cuma gagal membunuh permainan seperti yang diharapkan.

"Dalam penentuan penalti, ia lebih kepada mencuba nasib, apa sahaja boleh berlaku," katanya.

Pengendalinya, Fabio Maciel, tidak berada di bangku simpanan ekoran penggantungan selain Guilherme De Paula juga mengalami nasib sama.