KUALA LUMPUR 0 SELANGOR 3

Selangor kini hanya selangkah ke separuh akhir Piala FA 2018 selepas menundukkan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi pertama suku akhir di Stadium KLFA, Cheras, malam ini.

Beraksi di tempat lawan, Selangor tidak menunggu lama untuk melakukan asakan ke kubu tuan rumah.

Usaha tanpa henti akhirnya membuahkan hasil buat skuad kendalian Nazliazmi Mohamad Nasir itu apabila pemain pertahanan, Willian Pacheco, membuka tirai jaringan menerusi tandukan selepas menyempurnakan sepakan percuma kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah, pada minit ke-19.

Belum sempat Kuala Lumpur bimbingan Fabio Maciel kembali mengatur gerakan, skuad Red Giants menambah gol kedua, empat minit kemudian.

Kali ini, kealpaan benteng skuad Warga Kota pantas dihukum Amri dengan lambungan ke depan gawang dan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi Abdul Rahim, gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, sekali gus membolehkan Rufino Segovia meletakkan Selangor selesa dengan kedudukan 2-0.

Usaha tuan rumah untuk merapatkan kedudukan menerima tamparan hebat selepas pemain import, Guilherme de Paula, dilayangkan kad merah pada minit ke-25 selepas bertindak kasar susulan terjahan yang dilakukan oleh Abdul Halim Zainal terhadapnya.

Selangor hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-64 apabila pemain tengah dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn, mempunyai ruang terbuka di depan kotak penalti tetapi percubaan kaki kirinya sekadar melepasi palang gol.

Tatkala aksi bakal tamat dengan kedudukan 2-0, Rufino sekali lagi menjadi watak pemusnah buat Kuala Lumpur apabila menjaringkan gol ketiga pada minit terakhir bagi membolehkan Selangor meraih bekalan selesa dengan tiga jaringan dari tempat lawan.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, PKNS FC turut mencatat kemenangan dalam aksi pertama apabila membenam Perak 2-1 di Stadium Shah Alam.

Gol pertama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dihasilkan oleh pemain dari Singapura, Faris Ramli, yang bijak menggunakan peluang hasil kelekaan benteng skuad The Bos Gaurus untuk melepaskan sepakan leret menewaskan penjaga gol, Muhamad Hafizul Hakim Khairul Nizam, pada minit ke-25.

Penyerang gantian, Safee Sali, melebarkan kedudukan buat The Red Ants pada minit ke-88 sebelum Wander Luiz menjaringkan gol sagu hati buat Perak menerusi sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan, namun segalanya sudah terlewat untuk anak-anak buah Mehmet Durakovic menyekat kemenangan PKNS.

"Jika dilihat seluruh perlawanan, kami sudah menjangka aksi ini bakal sengit dan agresif.

"Pemain-pemain kami menampilkan aksi yang cukup baik untuk bertahan dan menggunakan peluang sebaiknya apabila mempunyai ruang untuk melakukan serangan balas. Pujian harus diberikan buat pemain-pemain," kata Rajagobal.

Aksi kedua suku akhir Piala FA bakal diadakan pada pada 20 dan 21 April depan.

Keputusan lain:
PKNP 0 Felda United 1