"Padah lagak bintang." Itu yang dirumuskan jurulatih Selangor, B. Sathianathan, sebagai punca kekalahan memalukan pasukannya kepada Felda United dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, malam tadi.

Sathianathan ternyata gagal membendung kemarahannya apabila pasukannya tersingkir seawal pusingan ketiga selepas ditundukkan The Fighters 1-2 di Stadium Shah Alam.

Perkataan pertama yang terpacul daripada mulut bekas jurulatih kebangsaan itu adalah "Kami main macam budak tadika."

Api kemarahan Sathianathan terus membuak-buak apabila beliau kemudiannya menyelar sikap pemainnya yang terlalu mengambil mudah kemampuan lawan.

"Kami ingat kami bintang.

"Kami tidak perlu hambat pemain lawan, kami tidak payah beri usaha yang sebetulnya dan bentesan ke atas lawan juga hilang. Felda dengan mudah dapat mengatasi tiga pemain kami.

"Saya kena fikirkan kedudukan pemain import kami. Kalau macam inilah keadaannya, saya perlu buat teguran dan kalau perlu tukar, maka kami akan tukar, terpulang kepada pengurusan," katanya dalam sidang berita selepas perlawanan.

Dalam aksi di hadapan penyokong sendiri itu, Selangor berada di depan hasil jaringan Syahmi Safari pada minit ke-55.

Namun, kedudukan itu diimbangi Thiago Juni, sembilan minit kemudian sebelum ketua pasukan Felda, Hadin Azman, muncul wira menerusi gol kemenangan The Fighters pada minit ke-88.

Mengetepikan seketika daripada memberi tumpuan kepada Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC, pengendali Felda, Nidzam Jamil, menganggap pengorbanannya berbaloi.

"Saya mengambil sedikit masa rehat saya untuk berada di sini dan saya berasakan ini tindakan yang berbaloi.

"Memang sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa pasukan ini pergi lebih jauh," kata Nidzam.