Tonggak import, Safuwan Baharudin, gembira dapat kembali dalam kesebelasan utama Pahang selepas diketepikan lebih dua minggu akibat kecederaan.

Bekas pemain Melbourne City itu hanya pulih sepenuhnya tiga hari lalu sebelum cemerlang menguasai jentera tengah dalam kemenangan 4-0 ke atas Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, bukan mudah terpaksa melihat kelibat rakan-sepasukannya dari luar padang selain tidak dapat menghalang kekalahan pertama Pahang dalam saingan Liga Super.

"Dapat membantu kemenangan pasukan dengan empat gol tanpa balas, saya fikir tiada cara lebih sempurna untuk kembali beraksi.

"Saya gembira dengan kebangkitan Pahang selepas terlepas tiga perlawanan dan kini berjaya mara ke separuh akhir Piala FA," ujarnya.

Pemain kebangsaan Singapura itu begitupun mengakui masa kian suntuk buat Pahang mengekalkan kecergasan untuk bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Selasa ini.

Ketinggalan lima mata di belakang JDT, Safuwan berkata kunjungan ke Larkin membawa misi kemenangan, seterusnya mendekatkan diri dengan pendahulu liga itu.

"Terlalu banyak perlawanan dilalui dan saya lihat kami agak kepenatan kerana hanya ada beberapa hari (bertemu JDT).

"Saya harap kami dapat mengekalkan corak permainan atau buat lebih baik lagi untuk mengurangkan kelebihan mata JDT," tambah Safuwan.