Biarpun gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala FA, Sabah tetap boleh mendabik dada, terutama dengan prestasi penjaga golnya, Rozaimie Rohim, yang cemerlang mempertahankan gawang daripada dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan.

Rozaimie adalah antara tonggak utama skuad Sang Badak ketika berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu yang berkesudahan 0-0.

Sebagai benteng akhir, Rozaimie bertindak cemerlang apabila berjaya menepis banyak percubaan berbahaya daripada jentera serangan lawan yang dikepalai penyerang import Negeri Sembilan, Marko Simic.

Bagaimanaoun, dia mengakui kecewa apabila usaha kerasnya dan rakan sepasukan dalam perlawanan tersebut masih belum cukup untuk melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini.

"Pertama sekali, Alhamdullillah pemain bermain sebagai satu pasukan dan memberi komitmen yang tinggi dalam perlawanan ini. Walaupun kami bermain tanpa dua import tetapi kami tidak bolos," katanya.

Persembahan cemerlang Rozaimie turut mendapat perhatian penggendalinya, Jelius Ating, yang menyifatkan penjaga gol berusia 33 tahun itu memainkan peranan penting dalam membantu rakan sepasukan menyerap tekanan apabila diasak hebat oleh pasukan lawan.

"Saya memberi pujian kepada penjaga gol kerana kerana berusaha menyelamatkan beberapa keadaan yang begitu bahaya. Begitulah pemain yang kita mahu, yang sentiasa memberikan prestasi terbaik," katanya.

Dua perlawanan separuh akhir pertama Piala FA akan berlangsung pada 30 April ini, dengan Kedah menentang Terengganu dan Pahang bertemu Negeri Sembilan.