Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, memberikan pujian kepada barisan pertahanannya yang mempamerkan persembahan terbaik susulan ketiadaan Zachary Anderson yang mengalami kecederaan bagi memastikan kemaraan mereka ke separuh akhir Piala FA.

Anderson mengalami kecederaan lutut dan terpaksa disisihkan daripada beberapa perlawanan, antaranya dua pertemuan suku akhir Piala FA menentang Perak.

Begitupun, benteng PKNS yang dikemudi Rodney Calvin, Azmizi Azmi dan Daniel Ting dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk memastikan cabaran skuad Semut Merah itu dalam saingan Piala FA diteruskan.

Menurut Rajagobal, perkara itu adalah antara beberapa aspek positif yang dapat diraih susulan pertemuan dengan Perak, Sabtu lalu.

"Kami perlu menyedari PKNS kehilangan khidmat Anderson," kata Rajagobal.

"Bagaimanapun, ketika ketiadaan Anderson, saya memuji barisan pertahanan yang mempamerkan aksi cemerlang," ujarnya.

Tumpuan seterusnya buat PKNS adalah aksi Liga Super menentang PKNP di Shah Alam, Jumaat ini.

PKNP mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama dan Rajagobal percaya ia memberikan lebih motivasi buat lawan mereka itu untuk tampil lebih mencabar dalam Liga Super.

"Piala FA adalah saingan yang berbeza dan setiap lawan mampu mengatasi kami. Buat masa ini, kami memberikan tumpuan kepada saingan liga berdepan PKNP dan cuba meraih tiga mata," tambahnya.