Dua aksi Liga Super bertemu Selangor cukup untuk PKNS FC menilai kekuatan dan kelemahan Gergasi Merah itu menjelang saingan pusingan pertama separuh akhir Piala FA, malam esok.

Walaupun dua aksi Liga Super itu sepenuhnya tidak memihak kepada PKNS, namun hal itu bukan gambaran sebenar yang dimiliki skuad Semut Merah.

Keputusan tewas dan seri dengan seteru setempat itu dalam dua saingan Liga Super sudah cukup untuk menilai kekuatan Selangor dan bagi jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, mereka bersedia untuk memastikan pusingan pertama memihak kepada PKNS.

Sebagai persediaan lebih serius, PKNS memulakan latihan selepas sambutan hari raya kedua, yang membawa maksud tiada cuti panjang untuk barisan pemain PKNS.

"Sudah dua kali kami bertemu Selangor. Kami mungkin akan mengetengahkan percaturan berbeza berdasarkan pilihan pemain yang ada.

"Kami tiada pilihan lain," kata Rajagobal.

Kapten PKNS, Safee Sali, enggan kehampaan terus menyelubungi pasukannya meskipun menyedari sasaran utama Selangor untuk ke pentas final Piala FA, namun tiada jalan mudah akan diberikan PKNS.

"Kami perlu perbaiki corak permainan kami, terutama kami banyak dibolosi.

"Pemain sedar dengan kesilapan ini dan perlu memperkemaskan aksi dalam perlawanan seterusnya," kata Safee.