Pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, tiada perancangan untuk merombak skuad Semut Merah dalam jendela perpindahan kedua musim ini meskipun gagal ke separuh akhir Piala FA.

PKNS terkandas secara agregat 2-4 kepada Kedah yang menyaksikan aksi timbal balik suku akhir di Stadium Darulaman, malam tadi berakhir 1-1.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berasakan tonggak import seperti Kpah Sherman dan Gabriel Guerra sudah membuktikan mereka konsisten sepanjang musim ini, terutama dalam saingan liga.

Malah, kekalahan di tangan Kedah disifatkan Rajagobal sebagai keputusan memuaskan hasil permainan bermutu tinggi.

"Kami bermula dengan baik dalam 16 minit pertama permainan, tiba-tiba sahaja kami dibolosi dalam situasi serangan balas.

"Berdasarkan peratus penguasaan permainan, saya fikir PKNS telah beraksi dengan baik dalam 12 perlawanan Liga Super dan Piala FA.

"Kami memberikan cabaran sengit walaupun sedar ada pasukan yang mempunyai pasukan yang lebih bagus lagi.

"Setakat ini, belum ada lagi (perancangan untuk menukar pemain) tetapi tengoklah selepas saya balik (ke Lembah Klang), mungkin saya akan bermimpi untuk membuat rombakan," katanya.