Pemain PKNP FC diharapkan mampu mengulangi perwatakan mantap seperti dalam empat perlawanan terakhir apabila melayani PDRM FA dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Seri Manjung, malam esok.

Jurulatih, Abu Bakar Fadzim, yakin anak buahnya berada di landasan betul untuk turun membuat perhitungan dalam kejohanan kalah mati itu.

"Mereka sudah menemui keyakinan hasil empat kemenangan berturut-turut.

"Saya berharap barisan pemain tidak akan mengecewakan saya dalam perlawanan malam esok, " katanya.

Walaupun tugas mengendalikan pasukan diserahkan kepada pembantunya, Chan Wing Hoong, berikutan dia perlu menjalani kursus anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abu Bakar tetap yakin bahawa anak buahnya berada di bawah jagaan baik berdasarkan persembahan mereka ketika menundukkan Melaka 1-0 dalam saingan Liga Super di tempat sendiri, Sabtu lalu.

"Saya berharap mereka mampu mengekalkan persembahan konsisten bagi memastikan kami layak ke suku akhir," katanya lagi.

Bagi menghadapi pertarungan dengan skuad kendalian E. Elavarasan itu malam esok, tuan rumah berupaya menurunkan kesebelasan terbaiknya.

"Semua pemain boleh diturunkan untuk kami menurunkan barisan terkuat," ujarnya.

Begitupun, Abu Bakar mengingatkan pemainnya agar tidak memandang mudah perlawanan itu kerana PDRM bukanlah calang-calang pasukan.

"Mereka juga turun dengan azam dan tekad untuk memenangi perlawanan bagi menempah kemaraan ke suku akhir.

"PDRM juga sedang menikmati kebangkitan dengan merakam dua kemenangan berturut-turut. Jadi, kami perlu berwaspada dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan, " katanya.