PKNP FC 3 PDRM 2

Mohd Hafiz Ramdan menjaringkan gol cantik dan istimewa untuk membantu PKNP FC melakar kemenangan 3-2 ke atas PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.


Pemain kebangsaan itu melakukan jaringan setaraf Anugerah Puskas apabila melencongkan bola sepakan percuma rendah untuk melepasi tembok empat pemain pada minit ke-88 untuk mengecewakan Sang Saka Biru, sekali gus layak ke peringkat suku akhir Piala FA itu.

Perlawanan tampak menuju seri selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dan seolah-olah berlanjutan ke masa tambahan selepas tuan rumah mendahului melalui jaringan Yashir Pinto Islame pada minit ke-16.

Namun, enam minit kemudian, Patrick Ronaldinho menolak masuk hantaran silang Shahurain Abu Samah pada minit ke-22.

Pasukan The Cops, bagaimanapun, memperoleh kelebihan, seminit babak kedua berlangsung apabila Mohd Fauzan Mohd Fauzi memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan gol pada minit ke-46.

Namun, ketika PDRM menjangkakan sudah memenangi perlawanan, Fazrul Hazli Mohd Kadri menyamakan kedudukan pada minit ke-74 sebelum Hafiz Ramdan memusnahkan mereka dengan sepakan istimewanya itu.