Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menyifatkan undian Piala FA bertemu Felda United di peringkat suku akhir bulan depan sebagai satu pertembungan menarik.

Menurutnya, ia seperti mengimbas kembali pertemuan suku akhir Piala Malaysia tahun lalu.

"Sudah pasti kali ini PKNP perlu lebih berhati-hati berdasarkan pencapaian semasa Felda yang cukup memberangsangkan.

"Campuran keserasian pemain tempatan dan import serta pemain naturalisasi mereka (Felda) lebih jitu dan terbukti. Mereka belum kalah dan mendahului carta Liga Perdana," katanya.

Namun, Abu Bakar tetap yakin anak buahnya mampu memberi saingan terbaik memandangkan ini kali kedua PKNP bersaing di peringkat ini.

"Kami (PKNP) seperti biasa akan terus berjuang memberi saingan. Saya berharap pemain lebih bersedia dan fokus. Felda bukan pasukan biasa-biasa. Sudah pasti jentera serangan mereka akan mencari kelemahan kami.

"Oleh itu, jika pemain dapat menangkis dan fokus sehingga wisel penamat, saya yakin PKNP pula mampu merobek kubu Felda," ujarnya.