PKNP FC menjadi pasukan terbaharu yang dijangka membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai mutu pengadilan aksi suku akhir kedua Piala FA walaupun perlawanan itu menyaksikan mereka melakar kemenangan 1-0 ke atas Kedah hasil jaringan tunggal Shahrel Fikri.

Pertikaian utama dalam suku akhir kedua itu ialah keengganan pengadil, Zulkarnain Zakaria, memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah pada minit ke-28.

Walaupun bola seakan-akan sengaja mengenai tangan ketua pasukan, Syawal Nordin, pengadil membuat keputusan hanya sepakan sudut diberikan kepada PKNP.

Menurut pengendalinya, Abu Bakar Fadzim, aduan itu dibuat bertujuan agar pengadil lebih berwaspada pada masa akan datang.

"Kita boleh lihat dalam video nanti dan saya yakin dengan aduan ini 100 peratus.

"Walaupun kami sudah tersingkir, ini adalah berkenaan mengharapkan perlawanan yang adil," jelas Abu Bakar.

Sementara itu, bagi Syawal, pasukannya sudah melakukan segala yang terdaya untuk mendapatkan gol tetapi nasib tidak memihak mereka.

Kecemerlangan penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar, jelas menjadi penghalang Kedah, namun Lang Merah berharap mampu bangkit selepas ini.

"Secara keseluruhan, kami menerapkan corak sama, cuma gagal dalam meledak gol. Kami mengikut arahan jurulatih dalam mengekalkan corak permainan sedia ada," kata Syawal.