Pemain PKNP FC menunjukkan perwatakan mantap ketika bangkit untuk mengatasi PDRM FA 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkata pemainnya tidak berputus asa dan menyerah mudah walaupun ketinggalan 1-2 pada satu ketika.

"Mereka berjuang hingga ke wisel penamat dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir.

"Kini kami berada dalam kelompok lapan terbaik dan saya berharap kami mendapat undian yang baik hari ini.

"Kami hanya selangkah saja lagi untuk mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir tahun lalu," katanya.

Menurut jurulatih itu, PDRM berjaya memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah dengan corak berkesan dalam babak pertama.

Namun, kata-kata semangat oleh pegawai pasukan di bilik persalinan pada waktu rehat berjaya melonjakkan semangat pemain.

Katanya, langkah menukar pemain juga bertepatan untuk mengubah corak pasukan hingga berjaya menafikan hasrat lawan untuk memenangi perlawanan.

"Dua pertukaran itu nyata efektif di jentera serangan untuk PKNP mengejar lawan ketika ketinggalan," ujarnya.

Abu Bakar turut memuji Hafiz Ramdan kerana berjaya menjulang pasukan melalui jaringan cantik pada minit-minit akhir perlawanan.