Kejayaan Pahang menyingkirkan juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT), meletakkan mereka sebagai pilihan untuk pertemuan menentang pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan, tatkala Kedah diramal berdepan tugas sukar bertemu Terengganu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama, Ahad ini.

"Walaupun kekuatan Pahang dan Negeri Sembilan nampak seimbang, Pahang mempunyai kelebihan kerana mempunyai ramai pemain yang gemar menyerang.

"Pastinya Negeri Sembilan akan menghadapi cabaran sengit kerana berdasarkan statistik, Pahang telah menjaringkan 27 gol.

"Ini membuktikan mereka memiliki jentera serangan yang hebat," ujar penganalisis bola sepak tempatan, Jalil Ramli.

Selepas mengetepikan Sabah, skuad Hoben Jang Hoben belum lagi diuji oleh pasukan handalan, ini akan memberikan mereka cabaran berbeza di peringkat separuh akhir nanti.

"Negeri Sembilan dilihat selesa beraksi dalam Liga Perdana ketika ini.

"Mereka telah beraksi dengan konsisten, namun mereka akan menghadapi cabaran sebenar nanti."

Dalam pada itu, dia mengingatkan Kedah masih memiliki reputasi hebat apabila bakal bertemu Terengganu di Stadium Darulaman.

"Walaupun Kedah tidak begitu konsisten kebelakangan ini, namun mereka masih lagi sebuah pasukan hebat.

"Kemampuan Terengganu tidak boleh dipandang ringan kerana mereka adalah sebuah pasukan yang paling meningkat naik.

"Saya percaya pertemuan ini adalah seimbang dan menarik," katanya lagi.