PKNP FC akur tugas berat menanti mereka apabila bertemu Felda United dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, esok.

Mengimbas kembali perlawanan suku akhir Piala Malaysia tahun lalu, PKNP yang menang 3-1 dalam aksi pertama, akhirnya tumpas dengan agregat 4-5 di tangan Felda United.

"Itu pengalaman dan pengajaran terbaik untuk kami. Untuk kali ini, PKNP lebih bersedia. Lagipun, sudah menjadi tradisi PKNP tidak akan menyerah mudah tanpa tentangan," kata penyerang PKNP, Mohammad Hafiz Ramdan.

Menurutnya lagi, Felda United kini berada di tahap terbaik dan ini memberikan kelebihan kepada mereka.

"Di atas kertas, mereka miliki segala kelebihan. Felda United belum tumpas lagi serta mendahului Liga Perdana. Namun, bola itu bulat. Kita lihat bagaimana nanti.

"Kami akan cuba sedaya-upaya. Kejayaan mara ke suku akhir ini menjadi pemangkin semangat pasukan PKNP. Selepas mara sebegini jauh, kini kami mahu maju selangkah lagi," katanya lagi.