TERENGGANU 1 SELANGOR 3

Kemelut di luar padang tidak menghalang kemaraan Selangor ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Awal permainan menyaksikan Selangor terlebih dahulu mencemaskan kem tuan rumah seawal minit ketiga dengan kuisan Rufino Segovia digagalkan penjaga gol lawan.

Tersentak dengan serangan itu, TFC mendahului pada minit ke-23 menerusi serangan balas yang dijanakan Kipre Tchetche yang disudahkan dengan baik oleh Mohd Shahrul Aizad.

Hanya empat minit kemudian, The Red Giants menyamakan kedudukan 1-1 selepas Segovia bijak menanduk masuk hantaran Ilham Udin Armaiyn dari sebelah kiri.

Aksi semakin rancak apabila Segovia hampir memberikan gol kedua pada minit ke-32, namun penyudahnya hasil umpanan Mohd Amri Yahyah sekadar lemah ke dakapan Mohd Suffian Rahman.

TFC memperkemaskan rentak dengan satu lagi serangan balas pada minit ke-58 yang nyaris membuahkan hasil, malangnya sentuhan pertama kurang baik oleh Shahrul Aizad diselamatkan Norazalan Razali.

Pemain import Selangor, Evan Dimas Darmono, menenggelamkan sokongan padu penyokong Sang Penyu melalui voli pada minit ke-60 untuk gol kedua pasukannya.

Kedudukan berubah lagi apabila Segovia menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-69 susulan Joseph Kallang Tie dijatuhkan Mohd Fitri Omar untuk jaringan kedua peribadinya dan ketiga buat Selangor.

Dua percubaan TFC melalui Mohd Kamal Azizi (m-76) dan sepakan percuma Lee Andrew Tuck (m-82) selepas itu gagal menemui sasaran yang juga merupakan usaha terakhir tuan rumah untuk bangkit.

Selangor pula terus kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed, untuk pulang ceria ke Shah Alam.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Keputusan lain:


UKM 1 Felda United 2

PKNP FC 3 Kuantan FA 0